Jul 24, 2022 - FASSelangor FC mara ke Separuh Akhir Piala FA 2022 setelah menewaskan Sabah FC dengan mempamerkan aksi cemerlang di Stadium Likas semalam.
Perlawanan yang cukup mendebarkan dengan serangan demi serangan daripada kedua-dua pasukan telah merekodkan beberapa perkara penting yang dapat di catatkan, seperti:-
- Barisan pertahanan pasukan mempamerkan aksi yang berdisiplin
Sepanjang perlawanan dapat dilihat barisan pertahanan Gergasi Merah, Yazan Al-Arab, Sharul Nazeem, Quentin Cheng, Fazly Mazlan dan Zikri Khalili dapat mengawal ketat bahagian pertahanan dengan penuh disiplin. Tiada ruang yang banyak dapat dimanfaatkan oleh pasukan lawan untuk cuba menjaringkan gol.
Perlawanan demi perlawanan, Yazan Al-Arab dan Sharul Nazeem semakin mendapat persefahaman yang sangat baik antara mereka berdua sebagai duo pertahanan dalam memastikan pasukan lawan tidak menembusi benteng Selangor FC. Pujian harus diberikan.
- Dua pemain import muda Selangor FC, Alexander Agyarkwa dan Hein Htet Aung terus mempamerkan aksi cemerlang mereka
Alexander Agyarkwa atau lebih mesra dengan panggilan Alex telah menjadi tunjang bahagian tengah Gergasi Merah pada musim ini. Beliau konsisten dalam membantu bahagian pertahanan serta serangan di bahagian tengah dengan persembahan terbaiknya.
Kemasukan Hein Htet Aung di separuh masa kedua telah menambah sengat bahagian serangan pasukan apabila beliau sering membuat larian dan gerakan yang baik serta memberi ruang kepada pemain penyerang untuk menyudahkan gol. Beliau juga hampir mencetak gol yang sangat cantik dalam perlawanan semalam tetapi dibatalkan kerana offside. Walau bagaimanapun, pujian layak diberikan atas usaha kerasnya beliau.
- Beberapa rekod statistik Selangor FC dalam Piala FA 2022
A) Rekod tanpa bolos ketiga Samuel Somerville dan barisan pertahanan Gergasi Merah dalam Piala FA 2022.
B) Sembilan gol telah dijaringkan setakat ini. Empat gol dijaringkan oleh Herlison Caion, dua dari Hyuri Henrique, satu gol daripada Safuwan Baharudin, Syahir Bashah dan Aliff Haiqal Lau.
C) Zikri Khalili, pemain muda pertahanan kiri Gergasi Merah telah merekod ‘Assist’ pertama beliau dalam saingan ini.
- Semangat berjuang bersama pasukan Selangor FC
Perlawanan semalam telah menunjukkan semangat juang pasukan dalam memastikan Gergasi Merah mara ke pusingan Separuh Akhir Piala FA 2022. Dari penjaga gawang, benteng pertahanan, arkitek tengah dan barisan penyerang telah menjalankan tugas masing-masing dengan cemerlang. Tidak lupa juga barisan kejurulatihan yang telah merancang strategi untuk para pemain beraksi dengan baik dalam perlawanan ini.
Selangor FC berharap pasukan dapat terus memparkan aksi terbaik ini dengan konsisten dalam perlawanan seterusnya. Fight Red Giants Fight!
Demi Kebanggaan!